Friday, April 6, 2012

PENTADBIRAN DAN PEMERINTAHAN SUKU KAUM RUNGUS DIZAMAN LAMPAU 2

BERSAMBUNG...

 Adapun, orang-orang biasa (Ranjat Rungus) pada masa dahulu suka hidup dan tinggal secara berorganisasi dalam sebuah Rumah Panjang dan takluk kepada perintah dan hukum yang telah diatur dan ditetapkan oleh Vozoon (Ketua atau Raja), Bobolizan (Ketua Agama Labus), Orang Beradat (Ulun Kiadat) dan juga Para Tua-tua (Momodlohing). Rakyat/Penduduk tidak boleh sesuka hati melanggar undang-undang dan adat yang telah ditetapkan oleh empat golongan ini dan sekiranya dilanggar hukuman akan dikenankan keatas orang berkenaan. Sebagai contoh, saudara kandung yang bersekedudukan sehingga mengandung akan dihukum lemas dalam air sampai mati. Pesalah akan dimasukkan dalam Bubu (Sejenis alat menangkap ikan). Undang-undang dan adat ditetapkan bagi menjaga keharmonian dalam hidup rakyat yang berorganisasi pada ketika itu. Bukan itu sahaja, rakyat momogun pada masa itu juga menetapkan Pantang Larang (Kepercayaan terhadap sesuatu perkara) demi mengelakkan rakyatnya daripada musibah yang tidak diingin, bukan sahaja untuk diri dan keluarga tetapi juga melibatkan semua penduduk dalam rumah panjang. Contohnya; tidak boleh tidur atau menyikat rambut atau menyanyi waktu ada orang mati dan sebagainya.

Oleh kerana kaum rungus (momogun) pada masa dahulu hidup berorganisasi, maka boleh dikatakan segala aktiviti yang dilakukan adalah secara bersama. Contohnya, membina rumah panjang dan petempatan yang baru adalah dilakukan secara beramai-ramai. Mengikut cerita tua-tua, rumah yang dibina pada masa dahulu tujuh kali tujuh kali (7 x 7 kali) dalam bahasa rungus [ Inturu ko Pinturu ]. Mengikut kiraan saya rumah panjang yang dibina pada ketika itu seluas sebuah bandar yang besar!. Walaupun dibina dengan kayu dan nipah tetapi ianya mempunyai rekabentuk yang unik kalau disingkap senibina rumah ketika pada masa itu dimana terdapatnya rumah yang bertingkat-tingkat dalam rumah panjang itu yang dipanggil (Orizan). Ada banyak yang ingin saya kongsikan berkaitan dengan senibina rumah panjang rungus ini tetapi biarlah dikesempatan yang lain saya akan cuba kongsikannya.

Semangat hidup bergotong-royong, tolong-menolong, bertoleransi, bertolak-ansur dan hormat-menghormati adalah tonggak utama penduduk kaum momogun ini hidup sebagai sebuah keluarga yang bermasyarakat. Contohnya, kalau berlaku kesusahan sesebuah keluarga, semua penduduk dalam kawasan berkenaan akan bersama-sama menderma agar kesusahan orang tersebut dapat dikurangkan. Begitu juga pada masa-masa menebas pokok untuk berladang sehinggalah menuai padi mereka saling membantu antara satu sama lain walaupun ladang itu adalah untuk satu-satu keluarga. Aktiviti tolong-menolong ini dikenali sebagai Miroyong, dimana beberapa orang akan bergilir-gilir untuk mendapat bantuan dalam kumpulan berkenaan. Dalam kalendar rungus (post saya sebelum ini), masyarakat melakukan aktiviti mereka agar masa yang terluang dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya seperti berladang (mitagad), menangkap ikan (monginsada), menenun kain (mangavol), modsupu, berniaga (midagang) dan sebagainya.

Masyarakat pada masa itu juga diberi kebebasan mengumpul kekayaan mereka sendiri itu sebabnya ada golongan yang dipanggil Orang Kaya-kaya (Ulun Lumundu). Kekayaannya dapat diukur dengan berapa aset seperti barangan alat muzik seperti Gong, Tontog dan sebagainya. Manakala barangan makanan seperti berapa rumah kecil untuk simpanan padi atau makanan (Sulap) yang dia ada. Harta lain seperti Runggou, Panding, Kampil dan lain-lain dapat diukur harta kekayaannya dengan pemilikan harta tersebut. Masyarakat ini kebiasaannya suka berdagang pada masa itu adalah secara sistem barter dengan para pedagang dari China dan Berunai. Pertemuan perdagangan berlangsung dipesisir pantai diantara penduduk masyarakat momogun dengan pendatang asing pada ketika itu kerana demi menjaga kesucian tanah adat dicerobohi oleh pendatang yang tidak diingini.

Kalau disingkap kehidupan bermasyarakat pada dahulu kala dan diterapkan dengan kemodenan pada masa ini sudah pasti kaum momogun dapat berdiri dikaki sendiri dan memerintah sendiri tanpa bergantung kepada kaum lain. Ketuanan adalah kuasa yang boleh menenggelamkan kaum-kaum minoriti dan suatu hari nanti kaum majoriti juga akan ditenggelamkan oleh kaum-kaum minoriti yang telah menerima kekuasaan itu. Sekiranya kita masih leka dan alpa, segala-gala yang kita ada akan lenyap begitu sahaja.. Berdirilah dan berjuanglah demi kesejahteraan kaum kita MOMOGUN..

No comments: