Wednesday, March 25, 2009

PENTADBIRAN DAN PEMERINTAHAN SUKU KAUM RUNGUS DIZAMAN LAMPAU


Post kali ini saya ingin menulis Pentadbiran dan Pemerintahan yang wujud pada zaman dahulu bagi suku kaum rungus. Berkemungkinan pada masa ini, ramai suku rungus yang dari bangsa Momogun atau panggilan pada masa sekarang ini adalah KadazanDusun tidak sedar bahawa pada zaman dahulu kala wujudnya sistem pemerintahan dan pentadbiran dalam bangsa tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak akan menyentuh pentadbiran mahupun sistem pemerintahan untuk suku kaum yang lain, saya cuma menyentuh sistem pemerintahan suku kaum saya rungus sahaja. Sistem Pemerintahan ini berlangsung melalui nenek moyang kami iaitu Aki Rungsud anak kepada Aki Nunuk Ragang. Aki Rungsud merupakan anak sulung daripada 3 adik-beradik. Aki Longuvai (nenek moyang orang penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang semua suku kaum Dusun) merupakan adik kepada Aki Rungsud. Disebabkan perintah oleh Bobolizan Rinovusan yang bernama Guraumanuk telah menyampaikan satu mesej dari Lumaag Minamangun (Tuhan Momogun untuk Agama Labus) maka adik beradik ini berpisah untuk menguasai semua kawasan yang ditakluki mengikut mesej yang disampaikan tersebut. Mesej ini adalah satu peraturan baru dimana ketiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah ke tempat lain kerana Lumaag Minamangun mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun. Jadi cucu cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau gunung paling tinggi dimana-mana daerah yang mereka datang dan semua sungai yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang mempunyai penyertaan semangat Lumaag Minamangun dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut "MOMURINAIT" dengan menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa Momogun.  [Petikan dari website : http://www.momogun.page.tl/Asal-Usul-Momogun.htm?PHPSESSID=4c577041e3b018d674efce36a0df6de8]

Maka bermulalah era zaman penguasaan kaum momogun pada masa itu dimana anak-anak Aki Nunuk Ragang telah berhijarah dari kawasan nunuk ragang ke kawasan yang dikehendaki oleh Lumaag Minamungan tersebut. Sebagai anak sulung, Aki Rungsud bertanggungjawab meneruskan amanat bapanya dan lumaag (Tuhannya) untuk mengekalkan segala cara hidup bersama, pemerintahan dan menjaga keselamatan bangsanya. Setiba di kawasan yang dipanggil Pompod Tanah (penghujung tanah) atau Dila Tanah (Lidah Tanah)beliau bertanggungjawab dalam mengatur segala stategi benteng pertahanan disetiap tempat kawasan tersebut. Kawasan pertahanan tersebut pada masa ini dikenali sebagai Simpang Mengayau, Kg. Terongkongan, Kg. Andarason , Kg Pata, teluk tambuluran, vingolon, torongkungan, andab dan banyak lagi seperti di kg pukah, limau-limauan kudat, di bengkoka, pitas dan marudu.

Pemerintahan pada masa itu adalah bebas dimana setiap rumah panjang yang didiami oleh 50 hingga 100 buah keluarga tersebut akan diketuai oleh seorang atau dua ketua rumah panjang yang dipanggil "Vozoon". Vozoon bermaksud Ketua yang diikuti. Pemerintahan tersebut adalah secara warisan dimana anak atau menantu kepada Vozoon tersebut akan menggantikan takhta tersebut.Manakala Pahlawan-pahlawan Bangsa Rungus pula masing-masing bertanggungjawab menjaga kawasannya. Adakalanya pahlawan-pahlawan ini akan bekerjasama dengan pahlawan rungus lain dari rumah panjang atau kawasan yang lain untuk mempertahankan bangsa dan tanah momogun dari bangsa lain. Pahlawan pada masa tersebut dikategorikan kepada 3 iaitu orang yang kebal atau lut dari apa senjata sekalipun atau lebih dikenali Ulun Ki Tansamung (Orang yang berkuasa Ghaib). Orang tua selalu berkata "Orang ini kalau ada orang asing yang datang dia akan menghalangnya terlebihi dahulu daripada datang kedaratan.  Ilmu hitamnya akan menjadikan pahlawan ini serba sakti yang mana paras lautan sehingga paras betis sahaja sambil menterbalikkan kapal dilautan untuk membunuh semua orang yang ada didalamnya". Walau bagaimanapun pengamal ilmu hitam untuk mendapatkan kekuatan ini mempunyai syaratnya tersendiri yang mana pengamal tersebut tidak boleh beristeri apatah lagi bersetubuh dengan perempuan dan dia juga perlu menggunakan kekuatannya untuk mempertahankan bangsa ini. Kalau dilanggar pasti pengamalnya akan menemui ajal.

Manakala Pahlawan yang kedua adalah Tanakvagu Rumandavi .  Pahlawan ini merupakan orang-orang yang bijak pandai pada zaman itu. Pemuda ini mempunyai kesaktian yang diberikan oleh Lumaag Minamangun (Tuhan Agama Labus).Kesaktian yang dimaksudkan antaranya kuasa menjadi Orang Halimunan untuk mengenakan seseorang musuh yang membuat pencerobohan [Ilmu halimunan ini tidak berkesan setelah manusia mengingkari perintah Lumaag. Kuasa tersebut telah ditarik balik oleh Lumaag kerana manusia menyalahgunakan kuasa tersebut]. Pahlawan ini merupakan pahlawan barisan ketiga yang paling dekat dengan semua orang yang tinggal dirumah panjang tersebut. Oleh kerana kebijaksanaan yang dipunyai maka tidak hairan orang yang berstatus rumandavi ini mempunyai pengaruh dalam pentadbiran dan politik dalam sesebuah rumah panjang.  Selalunya ilmu orang yang randavi ini dipunyai oleh Vozoon dan anak-anaknya iaitu Tanakvagu Rumandavi (Anak Lelaki) dan Enuvung (Anak Perempuan). Boleh dikatakan, Vozoon tersebut adalah Raja Pemerintah manakala Tanakvagu Randavi (Putera) dan Enuvung (Puteri). Walau bagaimanapun, dikalangan orang-orang biasa pun terdapat orang yang Randavi ini, biasanya orang yang randavi ini dapat dikenal pasti melalui rupa parasnya yang elok cantik dan lawa, bijaksana dalam berkepimpinan serta bijak pandai dalam segala bidang. 

Pahlawan yang ketiga adalah Tandon Tongkob yang merupakan ketua keluarga dalam setiap rumah panjang tersebut. Jika terdapat 50 buah keluarga maka 50 oranglah Tandon Tongkob. Tandon Tongkob bermaksud orang yang akan menguasai atau mewarisi peninggalan ibubapanya dan tidak boleh pergi kemana-manapun. Anak-anak lain Pahlawan Tandon Tongkob ni boleh pergi kemana pun disukainya namun anak yang dianggap tandon tongkob ini tidak dibenarkan meninggalkan warisan keluarganya. Sekiranya berlaku darurat pencerobohan dari bangsa asing, pahlawan inilah yang akan menjadi barisan benteng kedua selain Pahlawan Ki Tansamung. 

Walaupun Vozoon merupakan Raja atau Ketua Rumah Panjang namun setiap pemerintah adalah berjiwa rakyat dimana permerintahan adalah tidak berkuasa mutlak. Semua rakyatnya menghormati ketua tersebut kerana kebijaksanaannya, kewibawaan dalam pimpinan pembuat dasar peraturan dan pantang larang serta sebagai pengaman dikala terdapat perpecahan atau wujud ketidaksefahaman dalam rumah panjang tersebut ataupun antara masyarakat dengan rumah panjang yang lain. Vozoon juga merupakan penyampai segala mesej dari Bobolizan yang disampaikan dari Lumaag Minamangun dan segala rakyat akan patuh dengan pernyataan Lumaag Tuhan mereka.  

Orang tua-tua pada masa itu juga berperanan sebagai penyampai secara lisan perihal tentang keagamaan, kebudayaan dan institusi pembelajaran anak-anak pada masa itu. Melalui keagamaan, orang-orang tua ini merupakan ketua keagamaan selain Vozoon dan Bobolizan. Mereka jugalah yang akan mengatur segala peraturan adat, pantang larang, adat dan hukum perkhawinan dan lain-lain serta aktiviti membuat penyembahan kepada Lumaag mereka. Orang-orang tua ini juga yang akan bertindak secara sepakat dan Vozoon akan memutuskan atau menghakimi segala keputusan yang dipersetujui oleh para tua-tua.

Manakala berkaitan dengan institusi pembelajaran pula adalah secara lisan iaitu melalui penceritaan kepada anak-anak akan segala kehidupan pada zaman sebelumnya, bercerita tentang hiburan dan berlawak jenaka seterusnya mengajar secara demonstrasi untuk sesuatu benda.

Selain itu, dalam pentadbiran kaum rungus pada zaman dahulu juga wujud para sasterawan yang aktif dalam percakapan dan pertuturan sehari-hari. Tidak kira dimana pun berada, masyarakat pada masa itu dibayangi dengan pertuturan yang indah-indah contohnya bahasa klasik yang tidak difahami oleh penutur bahasa rungus pada masa kini. Para Sasterawan juga berperanan mengajar anak-anak ini cara menyanyi Lagu Klasik seperti Mongodihohoi, Mongondi, Sulangu, padaha. Selain itu Peribahasa (Sambatan), Pantun(Bahul) dan Teka-teki (Sundait) juga menjadi topik dalam pelajaran anak-anak pada masa itu. Selain lagu klasik rungus dan sastera hiburan lisan, tarian juga merupakan salah satu kebudayaan yang sangat penting pada masa itu yang mana anak-anak dari kecil diajar menari tarian Sumundai om Mongigol dan Manaradan. Walau bagaimanapun, tarian Mongigol om Sumundai merupakan tarian yang sering digunakan pada masa itu dan diterapkan bagi tujuan upacara keagamaan mereka iaitu tarian pemujaan kepada Kinoringan (Tuhan) mereka. Ilmu kesusateraan pada masa itu sangat terkenal kerana ianya merupakan salah satu hiburan dikalangan masyarakat pada masa itu. Ilmu ini juga digunakan dalam kehidupan seharian tidak kira dalam bercakap biasa, bercerita, bergaduh dalam keadaan marah dan sebagainya sastera tersebut akan digunakan. Orang tua kata, kalau bergaduh sekalipun orang biasa tidak akan faham mahupun tahu situasi tersebut. Namun dizaman sekarang ini kesusateraan ini tidak diamalkan oleh generasi kini kerana pengaruh sastera bangsa lain lebih diagung-agungkan daripada kesusateraan bangsa sendiri yang begitu elok budi pekerti.

BERSAMBUNG.....

5 comments:

Toyong Core_Lost said...

saya tak mau jadi pahlawan la ni..nanti tak dapat merasa nikmat perkahwinan..hehe

KAMPUNG BINTASAN DARAT KOTA MARUDU,SABAH. said...

avantang ti infomasi oi....rungus memang ohibat..

Aki Sagang said...

kuran kelo cara 'link'/share' diti maklumat ong pazazad sid kinogumuai?

Aki Sagang said...

kuran ka cara dilo ong share diti maklumat/tuturan tu izazad sid kinogumuai dara?

inspirasi bersama said...

Sebenarnya Bangsa Rungus bukan lah tak bertamadun, tpi kita cuma tak dapat merungkainya